Ahad, 21 November 2010

Karnival permotoran COTY2U di MATRADE

Petikan dari Berita Harian bertarikh 20hb. November 2010

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang memilih kenderaan terbaik 2010 menerusi Karnival Permotoran COTY2U yang berlangsung di Pusat Pameran dan Persidangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 20 hingga 21 November bermula jam 10 pagi hingga jam 9 malam.

Pengerusi penganjur, Yamin Vong, berkata karnival itu memberi peluang orang ramai melihat secara lebih dekat model kenderaan terbaik sepanjang tahun dan membuat perbandingan serta memandu uji sebelum membeli kereta idaman, selain berpeluang memenangi motosikal elektrik buatan Modenas.
“Orang ramai berpeluang membuat perbandingan antara model kenderaan yang dipamerkan tanpa ada gangguan daripada wakil penjual dengan hanya membayar yuran masuk RM5 untuk dewasa dan percuma kepada kanak-kanak. Kutipan yuran akan didermakan kepada tabung amal.
“COTY2U menitikberatkan kepentingan hak pembeli untuk membuat perbandingan sebelum membeli supaya pelanggan berpuas hati dengan pembelian sesebuah kenderaan,” katanya.

Antara model yang dipamerkan di karnival itu termasuk keluaran Vokswagen, Ford, BMW, Volvo, Renault, Mitsubishi, Mercedes-Benz dan Jaguar, selain kenderaan hibrid.

Karnival julung kali diadakan sempena Anugerah Kereta Terbaik 2010 Cars, Bikes & Trucks yang membabitkan penyertaan lebih 55 model kenderaan yang akan bersaing dalam 17 kategori kenderaan termasuk kereta kompak, kereta keluarga, kereta eksekutif dan kereta berprestasi tinggi.

Sempena karnival permotoran itu juga, beberapa acara menarik termasuk pertandingan sistem audio kenderaan, pameran serta jualan aksesori kenderaan, pertandingan kereta tercantik, klinik penjagaan tayar dan kursus pemanduan berhemat, turut diadakan. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan